Saturday, May 23, 2009

ITKAU

Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU)

Pengenalan

Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) adalah sebuah institusi pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Ia ditubuhkan untuk menyediakan modul dan kemudahan latihan kepada golongan belia, ibu tunggal, bekas tentera, bakal pesara dan orang awam yang ingin mendalami ilmu dan kemahiran di dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Program dan modul latihan yang disediakan dipersesuaikan dengan iklim ekonomi semasa negara. Ini bagi mempastikan apa yang dipelajari oleh para pelatih akan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran kerjaya dan perkembangan ekonomi negara.


Pendaftaran Dan Pentauliahan

Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) didaftarkan pada 4 Jun 2003 di bawah Peraturan Peraturan Pendidikan (Pendaftaran Institusi Pendidikan) 1997 dengan Rujukan : KP/JPS. SEK(Dft/Aku) I – Nombor Perakuan B3K 5467.

ITKAU juga adalah sebuah Pusat Bertauliah (PB) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Pembangunan Sumber Manusia dahulunya Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK).

ITKAU telah ditauliahkan sebagai panel penyedia latihan untuk;
i. Bahagian Pembasmian Kemiskinan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW)
ii. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
iii. Pejabat-Pejabat Pembangunan Negeri (PPN)
iv. Kementerian Pembangunan Wanita dan berpuluh buah agensi dan jabatan kerajaan sebagaimana senarai yang dilampirkan.


Lokasi Dan Konsep Kampus

ITKAU memiliki kampus tetap sendiri yang terletak di:
Lot 2822, Batu 11, Gesir Tengah, 44020 Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan

Pejabat Pentadbiran dan Komunikasi

Pejabat Pentadbiran ITKAU adalah berpusat di kampus ITKAU di alamat seperti di atas.

No. telefon pejabat : 05 4542902
No. telefaks : 05 4542761
Alamat e-mel : info@itkau.edu.my
Laman web : www.itkau.edu.my

SELAMAT DATANG

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terima kasih kerana mengakses laman blog ini. Sejak terbit dan beredarnya buku pertama saya ‘Menjejaki Jutawan Senyap’ ramai dari kalangan pembaca yang membuat saranan agar saya mewujudkan sebuah blog yang khusus untuk membolehkan para pembaca berinteraksi dengan saya.

Kemudian disusuli dengan terbitnya buku -buku saya seperti;

  • Petunjuk Jalan Kekayaan
  • Biar Kecil Asalkan Berhasil
  • OKB: Orang Kaya Bertaqwa
  • Aku Tak nak Miskin
  • Saranan telah bertukar menjadi desakan. Maka saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mengubah prinsip dan pendirian asal saya yang ingin terus menjadi PENYUMBANG SENYAP tetapi PRODUKTIF dalam konteks Pembangunan Minda dan Pembangunan Modal Insan Bangsa.

Sebagai seorang pejuang kita harus memilih satu kaedah dan satu wadah yang serasi dengan kita.

Ada kaedah dan wadah popular dan ada kaedah dan wadah kurang popular. Lalu saya memilih yang kedua.

Saya rasa lebih beruntung berada dalam wadah tidak popular kerana saya berpeluang menempuh situasi yang menarik dan real. Sebagai contoh, pernah pada suatu pagi di sebuah Coffee House di sebuah Hotel di Kuala Lumpur sekumpulan lelaki sedang mengulas isi kandungan buku saya sedangkan saya duduk mendengar dengan jelas di meja sebelah. Bagaimanakah rasanya jika anda berada di tempat saya dan mendengar perbualan begini.....



Lelaki A: Bukan main khusyu’ aku tengok kau baca buku tu malam tadi ...bagus sangat ke? Aku terjaga aku tengok kau masih baca lagi...

Lelaki B: Memang bagus...kalau tak buat apa aku baca sampai habis malam tadi juga.... kau pun tahu aku bukannya kaki buku.

Lelaki C: Akupun tengah baca juga ini... bagus tu memang bagus... tapi betul ke semua cerita dalam buku ni?

Lelaki B: He...kita sendiri dapat rasalah dengan naluri kita... betul atau tidak sesebuah cerita itu... apa pun aku memang rasa terbakar bila baca buku tu... aku nak join seminar dialah!

Yang aku nak tergelak tu kisah Cikgu jual aiskrim.... lucu betul!

Lelaki A: Tak apalah kau baca nanti kau cerita kat aku....

Lelaki B: Apalah kau ni... nak baca buku pun berat sangat... kaun baca dulu nanti kau tahu... aku rasa buku ini memang sesuai untuk orang orang yang pemalas membaca macam kita lah.....



Apabila saya telah selesai bersarapan saya bingkas bangun meninggalkan mereka, seorang pun tidak perasan akan saya. Inilah yang saya inginkan... mesej saya sampai, fikiran saya sampai dan saranan saya sampai, provokasi saya sampai tetapi batang tubuh saya tak perlu sampai kepada mereka.

Apa salahnya saya menjadi seorang motivator yang pasif tetapi dari segi sumbangan karya saya agak progresif dan produktif.



Saya sudah cukup rasa puas dan terharu ketika berada dalam lif di Putrajaya terlihat seorang pegawai wanita sedang membaca salah sebuah buku saya. Dia langsung tidak perasan sayalah penulisnya dan berdiri tegak di hadapannya di dalam lif yang sama.



Di sebuah hotel, di Kota Kinabalu Sabah, awal bulan Mei yang lalu, saya berada di tepi sebuah dewan di mana satu seminar keusahawanan sedang berjalan. Saya berbual-bual dengan salah seorang AJK penganjur, secara tidak sengaja saya mengaku yang saya penulis buku Jutawan Senyap.... tiba-tiba Si AJK itu berlari masuk ke dewan dan keluar semula dengan diikuti puluhan peserta yang mahu bertemu, bergambar dan menanda tangani buku-buku yang mereka bawa. Sekumpulan yang lain yang tidak tahu hujung pangkal tentunya tertanya-tanya di dalam hati ... siapa pulaklah Si Mamat ni.. siap sain autograph bagai....

Jika saya seorang yang popular....atau sebagai seorang famous celebrity .... saya tentu tidak dapat merasai situasi -situasi yang saya gambarkan tadi.



Sehingga ini saya rasa selesa dan berpuas hati dengan peranan dan tanggung jawab saya dalam hidup. Hidup biarlah berbakti... nilai bakti bukan urusan kita. Memberikan yang termampu itulah urusan kita.

Tidak popular tidak bermakna kita tidak berada di dalam arus perdana. Tidak popular tidak bermakna kita terpinggir atau terpojok. Tidak popular tidak bermakna kehadiran kita tidak mendatangkan impak yang signifikan.



Sebagai seorang penulis, saya mulai faham bahawa, tiada hubungkait yang ketara di antara populariti penulis dengan angka jualan. Hampir kesemua buku-buku saya mencecah angka jualan ‘Best Seller’. Tanpa saya perlu bersusah payah turun padang untuk melakukan promosi. Pada masa yang sama rakan-rakan saya dari kalangan motivator yang popular berhempas pulas untuk menjual buku -buku mereka walaupun untuk melepasi angka 2000 naskah.



Ini memberikan saya satu gambaran bahawa, dunia penulisan di Malaysia masih sihat. Isi kandungan atau kualiti tulisan masih menjadi pertimbangan utama para pembaca dan ia menjadi penentu laris tidaknya sesebuah buku. Justeru siapa yang menulis tidaklah penting berbanding apa yang ditulis.

Melaui blog ini, saya berharap dapat melontarkan sedikit-sedikit tetapi konsisten buah fikiran saya yang tersirat kerana jikalau sesudah terbit dalam blog saya tidak akan terbitkannya menjadi buku (Tersurat). Dalam erti kata lain, pembaca yang ingin pandangan saya di luar buku haruslah mengunjungi blog saya.